Friday, September 9, 2011

Emak saya sakit...

Kata emak saya, matanya sakit. Tersangat sakit. Terlampau sakit.

Dan paling melukakan, emak menangis kerana kesakitan semasa saya menghubungi.

Saya terasa sebak, dan sungguh pedih. Kasihan emak.

Kala saya sakit semasa kecil, emaklah yang bersusah payah memasakkan bubur, emak yang bersusah payah menjaga saya pada waktu malam, dan emak memastikan saya makan ubat.

Itu baru saya seorang, belum termasuk kesusahan emak menguruskan lima lagi adik-beradik saya semasa sakit. Ada yang masuk wad, ada yang menjalani pembedahan dan ada yang demam teruk.

Kali pertama, pada usia tujuh ke dua belas tahun, zaman saya menghidap asma yang teruk, ala-ala tahap kronik, emak dan ayahlah yang bersusah payah menjaga saya.

Emak tak benarkan saya menangis atau bergaduh, kalau tidak saya diserang asma.

Saya tak dibiarkan kesejukan atau diberi minum air sejuk, kalau tidak, hampir setiap malam saya masuk ke wad kecemasan untuk dipam.

Paling saya ingat, ayah selalu membawa saya berjalan-jalan, satu hari sewaktu berjalan di pasar tamu, saya benar-benar kelelahan, tak mampu bersuara, tak mampu berjalan, tak mampu memanggil ayah. Saya terduduk di tengah jalan, ayah sudah jauh ke depan, tidak sedar saya sudah ketinggalan. Apabila melihat saya terduduk, ayah berlari dan mengendong saya ke hospital. Itulah kenangan yang paling saya tidak lupakan, dan biarpun apa pun keadaaan sekarang, saya tetap sayangkan ayah kerana semua yang telah diberikan. Tidak kurang walau satu pun…
.
Dan emak, yang sentiasa bimbangkan nasib saya, benar-benar kesakitan saat saya sakit. Saya ingat, masa saya mula2 disahkan sakit teruk kali kedua tahun 2008 (bukan asma), emak benar-benar menjaga saya. Emak memastikan saya makan ubat, emak membawa saya bertemu doktor, emak yang bersusah payah memasak, dan mencari makanan agar saya berselera makan. Setiap malam, semasa saya tidur, emak akan membuka pintu dan melihat saya.

Dan hari ini, di kejauhan ini, saya bukan sahaja jauh, malah tidak dapat melihat keadaan mak dan ayah.

Jadi Ya Allah,
Peliharalah ibu bapaku seperti mana mereka memeliharaku sewaktu aku kecil.

Ya Allah,
Sembuhkanlah penyakit ibu bapaku dan janganlah kau turunkan dugaan kepada mereka saat akhir usia mereka. Biarkanlah aku yang merasai kesakitan tetapi jangan Kau menjauhi mereka dari nikmat-Mu. Telah banyak kesakitan yang mereka lalui, dan biarkan aku yang masih muda ini merasai kesukaran hidup, agar terhapus dosa-dosaku.

Ya Allah, sayangilah mereka seperti mana mereka menyayangiku sewaktu aku kecil. Panjangkanlah usia mereka dan peliharalah mereka dari azab api neraka.

Amin.


Emak,
Saya sangat menyayangimu…

No comments:

Post a Comment